Selasa, 15 Mei 2012

Kenangan

Bismillahir rohmanir rohim. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Pada tahun 1977 seingat saya waktu itu semasa saya dalam tingkatan 3, saya telah diperkenalkan oleh Abang Ipar saya tentang sebuah pertubuhan Islam yang bernama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Dan saya terus memohon untuk menjadi ahlinya.Saya telah menulis surat rasmi memohon menjadi ahli ABIM dan setelah itu saya telah diberikan senaskhah Perlembagaan ABIM. Namun sehingga hari ini permohonan saya tidak pernah diluluskan. Semenjak hari itu walaupun saya tidak pernah menjadi ahli ABIM tetapi program dan aktiviti ABIM sering saya sertai terutama usrah. Dalam waktu usia saya yang begitu muda (16 tahun) saya telah didedah dengan pelbagai ilmu dan maklumat tentang politik semasa dalam dan luar Negara. Dipendekkan cerita tiba-tiba pada tahun 1978 pilihan raya umum telah diumumkan dan pada tradisinya PAS tetap bertanding walaupun dalam kekuatan yang sangat minima. Dan hendak dijadikan kesah, tiba-tiba ayah saya sendiri telah diminta untuk menjadi calon PAS N.10 Kerdau dalam Parlimen Jerantut pada ketika itu. Maka sejak dari itu pengalaman dan pemerhatian saya dalam ilmu politik telah bermula. Tambahan pula ayah saya sendiri yang menjadi Calon Pas ketika itu. Namun apakan daya saya baru seorang remaja dalam tingkatan empat hanya sekadar memerhati gerak kerja dan strategi yang dlaksanakan oleh Pas dalam menghadapi Pilihan Raya ketika itu. Saya melihat ayah saya keseorangan dalam membuat kerja-kerja pilihan raya terutamanya kerja kempen. Saya melihat seterusnya dia hanya dibantu oleh seorang yang saya kenali sebagai Pak Teh Yassin. Mereka berdualah ke hulu ke hilir berkempen supaya pengundi memilih calon Pas. Pak Teh Yassin memikui pembesar suara dan ayah saya ala kadar setakat ilmu yang ada pada dia berceramah membuat penerangan. Saya tidak pula perasan sejauh mana kekuatan parti dan sejauh mana gerak kerja ahli parti pada ketika itu membantu ayah saya sebagai calon Pas untuk memenangi kerusi N.10 Kerdau, yang saya lihat ialah setiap pagi seawal jam 8.00 pagi ayah saya akan keluar berkempen dengan Pak Teh Yassin dan selewat jam 2.00 atau 3.00 pagi beliau balik. Saya tidak tahu dari mana datang sumber wang perbelanjaan, cetak poster, bahan kempen dan sebagainya yang diperolehi oleh ayah saya. Yang saya tahu selepas habis pilihan raya ayah saya telah berhabis berpuluh ribu. Kasihan. Namun dengan kekuatan yang sangat minima, dengan pengundi masih takut untuk memilih calon pembangkang namun kekuatan pas memang ada. Buktinya ayah saya tidak hilang wang pertaruhan. Seperti biasa di hari mengundi kita dikehendaki menghantar bekalan makan dan persiapan lain untuk PACA. Walaupun saya baru dalam tingkatan empat oleh kerana tiada petugas, maka terpaksalah saya turut terlibat membantu dalam hal dan kerja pilihan raya. Saya masih ingat seawal jam lima pagi emak saya bangun memasak mungkin dibantu oleh orang kampung untuk diberi kepada petugas pada hari mengundi. Setelah semua bungkusan makan disiapkan, makas saya diminta menghantar bekalan makanan tersebut di setiap peti undi. Dengan sebuah kereta yang dipinjam dari abang ipar saya, dan saya tidak mempunyai lesen memandu pun, saya bersama Pak Teh Yassin telah pergi ke setiap pusat mengundi untuk mengagihkan bekalan makan kepada para petugas. Seingat saya kebanyakkan tempat mengundi tiada petugas kita walaupun mereka berjanji untuk turun membantu. Maka Pak Teh Yassin pun merungut, hai kemana pulok budok-budok ni dalam lorat Temerloh. Dengan rasa hampa saya pulang membawa pulang bekalan bungkusan makan yang tidak dapat diagihkan kepada petugas kerana mereka tiada bertugas. Cuba bayangkan betapa seronoknya BN kerana tiada petugas Pas bersama dalam bilik mengundi. Sebelum itu saya juga mengetahui bahawa pihak SPR meminta semua parti politik yang bertanding melawat tempat-tempat mengundi, dan saya adalah wakil kepada parti Pas untuk melawat tempat mengundi tersebut. Saya ke sana bersama bapa saudara saya Tang Zeni. Maka mungkin beraya sakanlah puak-puak UMNO memangkah kertas undi tanpa dipantau oleh petugas kita. Dan keputusannya ayah saya kalah dalam pilihan raya tersebut. Apa yang hendak saya kongsikan di sini itulah kekuatan Pas pada ketika itu. Pas bertanding bukan di atas kekuatan tetapi bertanding di atas semangat dan kewajipan dan menghalang sama sekali UMNO-BN menang tanpa bertanding. Untuk makluman ayah saya pada ketika itu hanyalah seorang pemandu teksi dan berlawan dengan Mohd Salehuddin Omar rakan sekelasnya seorang bekas penghulu. Walaupun dari segi akademik dan pengetahuan jauh lebih baik dari Mohd Salehuddin (ayah saya mempunyai Diploma dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Jerman Barat dan pernah melawat England serta fasih berbahasa Inggeris). Dan salah seorang penyokong kuat ayah saya ketika itu ialah Ustaz Reduan Harun bekas YB Kerdau menggantikan Allahyarham Abdullah Kia yang meninggal pada tahun dalam satu pilihanraya kecil selepas pilihan raya umum 1999. Dan seperti biasa kekalahan berpihak kepada kita. Bersambung..................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan